Summary: | Pestisid dan baja kimia digunakan secara meluas dalam sektor pertanian bagi meningkatkan hasil pertanian dalam kalangan petani. Namun, pendedahan kepada pestisid akan memberi potensi risiko kepada kesihatan manusia. Kajian ini bertujuan menganalisa kekerapan pembentukan mikronukleus (MN) dan binukleus (BNu) pada mukosa sel bukal petani yang terdedah kepada pestisid dengan menggunakan asai MN. Perbandingan kekerapan MN dan Bnu dilakukan di dua kawasan iaitu Tanjung Karang, Selangor dan Kelantan kerana aktiviti pertanian dan jenis pestisid yang digunakan adalah berbeza. Pengambilan sel bukal dilakukan pada petani di Tanjung Karang (n = 32) dan petani di Kelantan (n = 43) dengan mnggunakan kayu penyendal lidah. Borang soal selidik juga digunakan untuk mendapatkan data demografik para petani. Analisa sitogenetik dilakukan dengan menggunakan pewarnaan Akridin Jingga (AO) 0.0025% (w/v). Kekerapan MN dan BNu yang terbentuk melalui analisa dibawah mikroskop fluoresen dijadikan sebagai petunjuk kerosakan sitogenetik. Keputusan kajian menunjukkan kekerapan MN dan BNu petani di Tanjung Karang adalah lebih tinggi secara signifikan (p < 0.05) berbanding petani di Kelantan. Selain itu, dari segi faktor sosio-demografik (umur, status merokok, tempoh bekerja) kekerapan MN dan BNu petani di Tanjung Karang lebih tinggi secara signifikan (p < 0.05) berbanding petani di Kelantan. Ini mencadangkan ketaknormalan sitogenetik boleh dipengaruhi oleh faktor tersebut. Manakala bagi aspek pekerjaaan dan pendedahan pestisid pula, tiada perbezaan kekerapan MN dan BNu yang signifikan antara tempoh penyemburan pestisid (p > 0.05) dan amalan pemakaian PPE (Personal Protective Equipment) (p > 0.05). Selain itu, ujian korelasi yang dijalankan menunjukkan terdapat korelasi positif antara kekerapan MN dengan tempoh pendedahan pestisid petani di Tanjung Karang (p > 0.05, r = 0.015) dan Kelantan (p > 0.05, r = 0.0158). Manakala, kekerapan BNu juga mempunyai korelasi positif dengan pendedahan pestisid petani di Tanjung Karang (p > 0.05, r = 0.036) dan petani di Kelantan (p > 0.05, r = 0.013). Justeru, kajian ini membuktikan bahawa pendedahan pestisid boleh meningkatkan pembentukan MN dan BNu dalam kalangan petani dan ini menjelaskan bahawa penggunaan pestisid dalam jangka masa panjang boleh mengaruh genotoksisiti dan kerosakan DNA kepada manusia.
|