Summary: | Alam cukup kuat pengaruhnya dalam kehidupan tradisi masyarakat Melayu sejak zaman berzaman. Hubungan erat antara masyarakat Melayu dengan alam persekitaran mereka telah membentuk satu pengaruh unik khususnya penggunaan unsur alam sebagai motif dalam aspek kesenian dan kebudayaan Melayu. Keupayaan mengolah unsur alam khususnya flora sebagai motif ragam hias yang cantik dan unik turut membuktikan keupayaan daya kreativiti yang tinggi dalam kalangan tukang-tukang ukir Melayu khususnya seni ukiran logam halus. Kajian ini meneliti pemilihan motif alam flora dalam seni logam halus emas dan perak di negeri Kelantan. Kajian ini juga meneliti kepelbagaian unsur alam flora yang digunakan sebagai motif dalam seni ukiran logam ini. Selain itu, kajian ini juga turut meneliti faktor-faktor yang mempengaruhi pemilihan unsur alam flora yang popular dalam seni ukiran logam ini. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif yang melibatkan kajian kepustakaan dan kajian lapangan. Kajian lapangan melibatkan kaedah temu bual bersama tukang ukir logam halus di Kelantan. Hasil kajian memperlihatkan terdapat lima motif utama alam flora yang sering digunakan dalam seni ukiran logam dan sejauhmana pengaruhnya dalam masyarakat. Antara motif yang digunakan ialah motif bunga, daun, pokok, pucuk dan tampuk buah. Setiap bahagian yang terdapat dalam tumbuh-tumbuhan ini menjadi satu inventori khusus berkaitan motif alam flora dan falsafah penggunaan khususnya dalam seni ukiran halus emas dan perak dalam masyarakat Melayu.
|